Motivasi Untuk Tranformasi Diri

Posts Tagged ‘motivasi diri

nilai-positif-diri

Susah untuk dijawap apabila soalan sebegini yang ditanya kepada diri anda bukan? Mengapa? Sebahagiannya merasakan menyebut sesuatu positif tentang diri di hadapan orang lain seolah-olah kita menunjukkan yang bukan-bukan tentang diri sendiri. Atau mungkin juga kita tidak padan untuk menilai diri kita dengan sesuatu yang baik memandangkan terlalu banyak perkara negatif dalam diri kita.

Inilah yang kebiasaannya berlaku dalam kehidupan kita. Kita lebih mudah mencari apakah sikap negatif diri daripada melihat di manakah sikap positif kita. Jadi jangan pelik apabila kita menilai orang lain kita lebih cenderung dalam melihat peribadi mereka yang negatif terlebih dahulu berbanding sikap positif mereka. Dan perkara ini bukan mudah untuk kita anjakkan kerana telah sebati dengan pemikiran masyarakat kita.

Tapi sebenarnya kita perlu mencari apakah sikap positif dalam diri kita. Mengenal diri sendiri bukan sekadar melihat kelemahan diri sepanjang masa. Maksud muhasabah diri bukanlah bererti kita hanya menilik kekurangan diri sebaliknya perlu juga mencari di manakah sikap positif diri sebagai satu motivasi. Tanyalah diri anda? Apakah sikap positif dalam diri anda?

Andalah yang paling layak melihat diri anda, sama ada kekurangan atau kelebihan kerana jika orang lain yang memberikan penilaian kadangkala persepsi mereka berbeza melalui apa yang dilihat melalui mata kasar mereka. Tetapi andai diri anda sendiri yang menilai anda boleh melihat keseluruhan diri anda, dalam dan luar, zahir dan batin.

Untuk melihat sikap positif dalam diri anda, sekarang ambil sehelai kertas A4 dan sebatang pen. Tarik nafas..cuba renungkan siapa diri anda..dan apakah sikap positif yang membantu anda sehingga ke hari ini? Kemudian tulislah di atas kertas tadi. Anda akan dapati begitu banyak sikap positif yang boleh membantu anda menjadi lebih berjaya. Gunakan kesemua sikap positif ini untuk anda membina satu kehidupan baru yang lebih positif.

Advertisements

successIngin berjaya dalam hidup. Satu kata yang sering kita ungkapkan apabila seseorang bertanya kepada kita, apa yang kamu ingin capai pada masa akan datang. Tetapi bagaimana caranya? Itu pula persoalan yang sering timbul dalam diri apabila sudah ada niat ingin membina kejayaan dalam hidup. Perkataan berjaya mudah dieja, tapi bukan mudah dicapai. Berjaya memerlukan kesusahan sebagai teman setia, menuntut seribu pengorbanan masa dan tenaga dan juga perlu mencabar keupayaan dalam diri.

Bagi anda yang pernah membaca artikel saya di www.izoblog.com , kejayaan perlu suatu usaha yang luar biasa. Bukannya usaha 99%, bukan juga 100% tetapi memerlukan momentum 120%. Dengan erti kata lain, untuk berjaya memerlukan kita mencabar keupayaan diri sendiri untuk digunakan semaksimum mungkin.Menggunakan keupayaan, kelebihan dan potensi diri ke peringkat yang terbaik.

Oleh kerana itu apabila pelan tindakan dalam usaha kita membina kejayaan tidak berjaya, kita jarang post-mortem tentang kegagalan menggunakan keupayaan diri sendiri. Selalunya yang termasuk dalam post-mortem kita ialah perkara-perkara luar yang kaitannya sedikit sahaja berbanding keupayaan diri sendiri.

Baru-baru ini kita melihat keputusan SPM yang begitu cemerlang dicapai oleh Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal seorang pelajar yang mempunyai latar belakang keluarga yang susah dan serba kekurangan dalam kemudahan untuk belajar. Jika dilihat dari perkara-perkara sampingan yang menghalang keselesaan dalam hidupnya, sudah pasti kita menilai bahawa dia tak mungkin berjaya.

Tetapi kerana faktor mencabar keupayaan diri inilah yang telah memberikannya ruang untuk berjaya lebih hebat dari mereka yang lain. Apabila timbul rasa ingin mencabar keupayaan diri maka segenap aspek ujian akan dipandang positif dan menjadi perangsang dalam mencipta kejayaan demi kejayaan.

cek_hati“Menilai orang lain melalui hati” mungkin itulah kata-kata yang sesuai untuk menjelaskan tajuk di atas. Bukan mudah menilai orang lain melalui hati. Menilai apa yang tersirat dari pertolongan atau mungkin perlakuan yang ditunjukkan di hadapan kita.

Manusia dianugerahkan mata yang merupakan pancaindera yang utama dalam memberikan pengaruh. Pandangan mata mampu menutup pandangan hati dalam menilai seseorang. Itulah hebatnya mata. Selalunya kita membuat penilaian terhadap seseorang berdasarkan penampilan, tutur kata dan juga personaliti. Kerana kita manusia memang tidak dapat mengenali hati budi orang lain. Sebab itu boleh timbul perkataan seperti berpura-pura dan hipokrit. Kerana menggambarkan bahawa penilaian kita terhadap seseorang hanyalah berdasarkan luaran bukan isi hatinya.

Kita tidak memberikan ruang dalam diri kita untuk kita meneliti seseorang dengan hati kita. Terutama bila seseorang yang sering memberikan pertolongan kepada anda, mengambil berat tentang diri anda maka sudah tentu mata melihat bahawa pertolongan yang diberikan adalah ikhlas. Lebih-lebih lagi jika pertolongan diberikan secara berterusan dan kerap. Tetapi andai dalam waktu yang lain, orang yang pernah memberikan pertolongan itu melakukan kesilapan walaupun sekali, maka sudah tiada lagi kebaikan dalam dirinya. Walaupun mungkin kesilapan itu terlalu kecil.

Tetapi amat berbeza sekiranya seseorang yang pernah melakukan kesilapan dan kesalahan dalam dirinya. Sekalipun dia melakukan pelbagai kebaikan, bahkan dengan ikhlas sekalipun mata tetap akan menilai bahawa dia tetap orang yang salah dan mungkin juga berpura-pura untuk berlaku baik. Itulah fungsi mata yang menilai.

Kita sebagai manusia tidak akan dapat menghalang orang lain dari menilai sedemikian rupa kerana masing-masing mempunyai persepsi yang berlainan. Cuma alangkah baiknya jika kita dapat menilai orang lain melalui hati kita. Dengan erti kata kita melihat apa kebaikan yang pernah wujud dalam dirinya. Bukan dengan cara menafikan kebaikan yang pernah dilakukannya. Kerana jika kita meletakkan persepsi begitu kita sukar untuk memaafkan orang lain. Bahkan kita langsung menutup ruang dan peluang untuk orang mengubah dirinya. Kita semua adalah sama melainkan dalam perkara amal dan taqwa.

Hidup ini pastinya diuji. Sama ada besar atau kecil ujiannya, kekurangan harta benda atau kehilangan orang yang tersayang, itu semua tertulis sebagai ujian. Sebagaimana firman Allah ini:

albaqarah-1551

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar [Al-Baqarah:155]

Namun sebagai makhluk bergelar insan, bukan setiap masa kita mempunyai untuk terus menerus menggenggam kekuatan untuk menghadapi ujian-ujian daripada Allah. Kerana bukan mudah membina kesabaran dan redha dia atas ujian. Terutama apabila kita diuji dengan rasa sedih dan kecewa.

Bukan mudah mematahkan rasa sedih. Bukan senang memujuk hati untuk menerima segala ketentuan. Sekalipun mulut mampu mengungkapkan kata sabar, ketahuilah bahawa hati sebenarnya memerlukan begitu banyak kekuatan untuk membina kesabaran di hati. Dan perkara yang selalu menjadi pertanyaan kita pada masa itu, mengapa semua ini terjadi kepada kita? Kenapa begitu sukar menghadapi kehidupan ini?

Namun ketahuilah di sebalik rasa sedih ini, sebenarnya Allah bakal memberikan kegembiraan kepada kita, dan di sebalik kekecewaan itu Allah bakal memberikan harapan yang lebih baik kepada kita. Kerana kesedihan dan kekecewaan bukan bermaksud kasih sayang Allah telah padam untuk kehidupan kita. Bahkan terus bersama kita. Cuma bagaimana kita cuba untuk menerima ketentuan dan memahami hakikat kehidupan ini.

Jangan lupa untuk membina keyakinan diri dengan terus berdoa kepadaNya. Minta diberikan segala kekuatan dan kemudahan dalam menghadapi hidup. Pengalaman pahit sebenarnya mengajar kita bahawa hidup ini tidak selalunya indah. Sebagaimana indahnya pandangan mata menilai sesuatu.

Sebagai insan tak kan terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Kerana itulah kelemahan yang ketara dalam diri manusia. Kekadang banyak perkara yang dihadapi dalam hidup anda memerlukan anda memberikan keputusan yang mungkin perlu difikirkan sedalam-dalamnya. Seperti masalah yang mungkin melibatkan ahli keluarga seperti memilih pasangan, pertunangan dan perkahwinan. Sememangnya itulah yang perlu dilakukan.

Tetapi adakalanya anda boleh memberikan keputusan anda secara individu dalam permasalahan yang anda alami, dan ada situasinya keputusan individu tidak menjamin bahawa itu adalah keputusan yang betul. Mengapa? Kerana anda memerlukan nasihat dan panduan pengalaman orang lain untuk situasi yang anda alami. Nasihat mereka yang terlebih dahulu makan garam daripada anda. Mereka yang pernah mengalami keperitan hidup lebih dahulu daripada anda.

Ayah, ibu, adik beradik dan ahli keluarga adalah orang yang paling dekat dan berhak untuk anda bertanyakan apa jua masalah yang mungkin anda alami. Terutama masalah anda anda belum pernah laluinya sepanjang hidup anda. Jangan sekali-sekali memutuskan keputusan sendiri terhadap perkara yang belum pernah anda alami. Sekalipun anda tahu apa yang mungkin anda lakukan terhadap situasi anda, tetapi bertanyakan pendapat ahli keluarga akan memberikan keputusan yang lebih baik dan tepat.

Hari ini anak-anak muda merasakan mereka sudah terlalu dewasa untuk menghadapi kehidupan, sehinggakan mereka mengetepikan ahli keluarga dalam membuat keputusan. Mereka sebenarnya hanya berfikir dalam lingkungan pemikiran mereka sahaja. Lebih-lebih lagi dalamĀ soal pasangan dan jodoh. Oleh kerana itu juga, anak-anak muda hari ini sukar menerima pandangan orang lain kerana dari zaman mereka kecil mereka sudah membuat keputusan sendiri. Mereka akan mudah melenting bila ditegur oleh ahli keluarga sendiri.

Anda boleh bertindak untuk melakukan keputusan untuk anda sendiri. Tetapi bukan dalam semua keadaan. Dalam keadaan yang mungkin melibatkan anda dan keluarga, mintalah pandangan mereka. Akui kesilapan keputusan diri dan teruskan dengan keputusan keluarga. Fikirkan apa yang saya tuliskan ini.

love

Tiga perkataan yang nampak seakan sama untuk diterjemahkan, namun jika diteliti membawa kepada pengertian yang sangat berbeza. Pengertian tiga perkataan ini memberikan makna yang sangat mendalam untuk difahami. Emosi dan tindakan juga sebenarnya menggambarkan bahawa kasih, sayang dan cinta mempunyai perbezaan walaupun sedikit.

Kasih..

Kita sering mengucapkan kalimah basmalah yang membawa maksud “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”. Allah SWT sebenarnya sangat mengasihi kita sebagai hambaNya. Dan jika kita halusi mengapa Allah SWT mengasihi manusia sudah tentu hanya kerana Allah SWT mempunyai belas kasihan terhadap hambaNya. Rasa kasih sebenarnya terselit rasa belas kasihan terhadap seseorang. Begitu juga Allah SWT mengasihi kita selayaknya kerana kita lemah dan perlu dikasihani.

Dalam hubungan sesama manusia, kasih kadang-kadang menjadi titik bermulanya rasa sayang dan seterusnya rasa cinta. Dari kasihan akan terbit rasa sayang yang begitu kuat. Sebab itu dalam Bahasa Melayu perkataan kasih selalunya digabungkan sekali dengan perkataan sayang. Jadi tidak hairanlah mengapa Rasulullah sendiri berkahwin dengan isteri-isterinya yang banyak kekurangan. Rasa belas kasihan kerana tidak mampu melihat kesusahan wanita-wanita yang kehilangan suami kerana syahid telah mengangkat baginda untuk menyayangi dan mencintai mereka sebagai isteri.

Sayang..

Perkataan yang sukar untuk dibezakan dan diterjemahkan terutama dalam hubungan perasaan sesama manusia. Menyayangi seseorang belum tentu mencapai tahap mencintai kerana menyayangi lebih luas skopnya berbanding mengasihi. Anda mungkin menyayangi sahabat anda, keluarga anda, guru anda atau sesiapa sahaja. Tetapi berbeza jika anda mengatakan bahawa anda menyayangi isteri anda. Kerana rasa sayang kepada isteri sebagai teman hidup memberikan maksud anda mencintai pasangan anda sedalam-dalamnya.

Namun fahamilah, sebenarnya rasa sayang sudah memadai untuk anda melihat pengorbanan yang bakal dilakukan oleh orang yang menyayangi anda. Pengorbanan yang mungkin dilakukan luar dari kebiasaan emosi manusia. Rasa sayang akan memberikan kesan yang berpanjangan sama ada anda sebagai orang yang menyayangi dan disayangi kerana rasa akan dapat dihalusi wujudnya keikhlasan dalam setiap tindakan yang dilakukannya. Keikhlasan inilah yang akan memberikan rasa sayang berpanjangan dan terus mendoakan kebahagiaan untuk orang yang tersayang.

Cinta..

Percintaan sudah tentu dikaitkan dengan rasa kasih sayang. Menggambarkan bahawa bila menyebut cinta sudah tentu akan ada rasa kasih dan sayang kepada seseorang. Bila mencintai seseorang, tersiratnya anda mempunyai rasa sayang yang ikhlas dan menerima diri pasangan anda seadanya. Anda hanya memikirkan dirinya, perkongsian hidup bersama dan juga kebahagiaan masa depan bersama.

Cinta terlalu kompleks untuk dihuraikan. Kerana cinta membawa pelbagai istilah yang memberikan maksud yang berbeza. Dalam satu pepatah arab, mendefinisikan cinta itu pekak dan buta. Rasa cinta yang terlalu mendalam akan memekakkan telinga untuk kita menerima segala nasihat daripada orang lain. Segala keputusan kebanyakannya diputuskan sendiri. Cinta juga akan membutakan mata untuk melihat kelemahan-kelemahan pada diri orang yang dicintai sekalipun nampak jelas di mata orang lain.

Cinta mampu memberikan rasa gembira kepada pasangan, tetapi cinta juga memberikan luka yang sukar untuk diubati. Cinta membahagiakan bila berjaya hidup bersama pasangan dan sangat memedihkan bila gagal. Itulah kelebihan dan kelemahan cinta. Kerana pengertian cinta selalunya disandarkan hanya pada manusia. Manusia tidak sempurna. Jika pengertian cinta ini disandarkan pada Allah Yang Esa, sudah pasti tidak akan wujud istilah putus cinta.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Ikhlaskah kita? Itulah yang selalu terdetik dan terlintas di hati kita ketika kita melakukan sesuatu dalam hidup kita. Ikhlas tidak semudah menyebut dan mengeja perkataannya. Ikhlas tidak akan dapat diterjemahkan dengan hanya tulisan saya di laman ini. Keikhlasan terlalu rumit untuk diberikan tafsiran. Perkataan ikhlas yang keluar dari bibir mungkin nilaian sebenar kepada hati yang tulus ini.

Namun keikhlasan sebenarnya memberikan semangat dan kekuatan luar biasa kepada seseorang individu. Sama ada anda percaya atau tidak, anda fikirkanlah sendiri. Tanyalah hati masing-masing. Pernahkah anda terfikir bagaimana seorang ibu yang miskin dan dhaif, tetapi mampu membesarkan 12 orang anak-anaknya sehingga berjaya dengan cemerlang? Pernahkah anda bagaimana seorang ayah yang bekerja tanpa rehat dan menghiraukan kesihatan diri untuk mencari nafkah untuk keluarganya? Percayalah, rahsianya cuma IKHLAS.

Kerana keikhlasan seorang ibu, dirinya tidak pernah mengharapkan balasan daripada anak-anaknya apabila mereka telah berjaya. Dan kerana keikhlasan itu ayah bagaikan hilang keletihan dan kepenatan untuk terus memberikan yang terbaik untuk keluarganya. Hanya dengan ikhlas mampu memberikan anda kuasa di luar batasan akal manusia. Tanyalah diri kita masing-masing, jika sesuatu yang kita lihat berlaku tidak seperti yang sepatutnya, mengapa hanya menuding jari pada orang lain. Famili anda tak bahagia? Tanya diri adakah anda ikhlas menyayangi mereka? Anak-anak anda terlibat dengan gejala sosial, hitunglah hati anda adakah ikhlas dalam memberikan nafkah dan mendidik mereka. Keikhlasan yang sebenar dan cara yang betul akan memberikan kuasa untuk mengubah apa yang di luar kotak pemikiran anda. Insya Allah.


Blog Stats

  • 121,792 hits

My Diary

November 2017
M T W T F S S
« May    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930