Motivasi Untuk Tranformasi Diri

Archive for the ‘Fikirkanlah’ Category

cek_hati“Menilai orang lain melalui hati” mungkin itulah kata-kata yang sesuai untuk menjelaskan tajuk di atas. Bukan mudah menilai orang lain melalui hati. Menilai apa yang tersirat dari pertolongan atau mungkin perlakuan yang ditunjukkan di hadapan kita.

Manusia dianugerahkan mata yang merupakan pancaindera yang utama dalam memberikan pengaruh. Pandangan mata mampu menutup pandangan hati dalam menilai seseorang. Itulah hebatnya mata. Selalunya kita membuat penilaian terhadap seseorang berdasarkan penampilan, tutur kata dan juga personaliti. Kerana kita manusia memang tidak dapat mengenali hati budi orang lain. Sebab itu boleh timbul perkataan seperti berpura-pura dan hipokrit. Kerana menggambarkan bahawa penilaian kita terhadap seseorang hanyalah berdasarkan luaran bukan isi hatinya.

Kita tidak memberikan ruang dalam diri kita untuk kita meneliti seseorang dengan hati kita. Terutama bila seseorang yang sering memberikan pertolongan kepada anda, mengambil berat tentang diri anda maka sudah tentu mata melihat bahawa pertolongan yang diberikan adalah ikhlas. Lebih-lebih lagi jika pertolongan diberikan secara berterusan dan kerap. Tetapi andai dalam waktu yang lain, orang yang pernah memberikan pertolongan itu melakukan kesilapan walaupun sekali, maka sudah tiada lagi kebaikan dalam dirinya. Walaupun mungkin kesilapan itu terlalu kecil.

Tetapi amat berbeza sekiranya seseorang yang pernah melakukan kesilapan dan kesalahan dalam dirinya. Sekalipun dia melakukan pelbagai kebaikan, bahkan dengan ikhlas sekalipun mata tetap akan menilai bahawa dia tetap orang yang salah dan mungkin juga berpura-pura untuk berlaku baik. Itulah fungsi mata yang menilai.

Kita sebagai manusia tidak akan dapat menghalang orang lain dari menilai sedemikian rupa kerana masing-masing mempunyai persepsi yang berlainan. Cuma alangkah baiknya jika kita dapat menilai orang lain melalui hati kita. Dengan erti kata kita melihat apa kebaikan yang pernah wujud dalam dirinya. Bukan dengan cara menafikan kebaikan yang pernah dilakukannya. Kerana jika kita meletakkan persepsi begitu kita sukar untuk memaafkan orang lain. Bahkan kita langsung menutup ruang dan peluang untuk orang mengubah dirinya. Kita semua adalah sama melainkan dalam perkara amal dan taqwa.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

nyamuk

Kali ni nak luahkan perasaan tidak puas hati terhadap pusat kesihatan di Malaysia ni. Mungkin Kementerian Kesihatan Malaysia perlu anjakan paradigma dalam memberikan layanan dan juga perkhidmatan kepada pesakit-pesakit yang menjadi pelanggan mereka.

Salah seorang kawan pejabat aku (Iena) suspek denggi selepas dibuat pemeriksaan di satu klinik swasta kelmarin. Akhirnya setelah sampel darah diambil pada 7.00 malam dari Klinik Suraya Bangi, doktor dari klinik tersebut minta disegerakan ke hospital memandangkan tanda-tanda di badannya jelas menunjukkan Iena suspek denggi.

Selepas Maghrib terus bergegas ke hospital Serdang, antara hospital kerajaan yang paling dekat dengan Bangi. Tetapi alangkah sedihnya, ramai pesakit waktu tu. Waktu malam hanya bahagian kecemasan yang masih dibuka. Bayangkanlah di bahagian kecemasan hanya ada seorang saja doktor tetapi diletakkan 3 orang di bahagian kaunter. Iena yang sepatutnya dimasukkan ke wad tetapi terpaksa menunggu sehingga dua jam, walaupun telah ditunjukkan surat daripada pihak klinik. Siapa yang boleh boleh tahan menunggu lebih lama kalau situasi sakit yang dialami. Tanda-tanda denggi, lenguh-lenguh badan dan panas badan sudah tentu sakit untuk bertahan sambil menunggu.

Akhirnya Iena dibawa balik ke rumah. Tidur dalam kesakitan. Dan pagi ni terus ke Poliklinik Bandar Baru Bangi dengan harapan Iena akan dimasukkan ke wad. Tapi pagi ni sekali lagi kena beratur untuk ambil sampel darah. Mungkin sebagai prosedur untuk kes, tak kisah lah ambil darah lagi. Tapi kalau ambil sampel darah dua kali dalam satu masa macam mana? Dah tu pihak poliklinik bagi alasan sebab yang ambil sampel darah yang pertama tu tak profesional. Mengapa wujud alasan sebegitu? Bayangkanlah, hati pesakit dan hati-hati yang melihat telatah pihak poliklinik yang nampak ambil mudah kepada pihak pesakit.

Sebenarnya kalau anda semua perhatikan, dan kalau boleh perhatikanlah, banyak kakitangan kesihatan kerajaan seakan pandang mudah kepada pesakit yang datang. Cara layanan, komunikasi dan kadang-kadang sangat tidak mesra kepada pesakit. Mungkin kerana dah selalu sangat jumpa pesakit, sensitiviti mereka dah menurun. Semua pesakit dipandang macam tak sakit. Sedarlah di negara kita ni dah banyak kelalaian kakitangan kesihatan yang menjadi penyebab berlakunya trajedi. Dan jelas sekali mengapa ramai orang memilih untuk pergi ke hospital swasta, kerana serik dengan sikap segelintir kakitangan kesihatan kerajaan yang tak profesional dan ambil mudah.

Mungkin juga luahan ini mewakili mereka yang lain kerana mengalami situasi yang sama. Mudah-mudahan di masa akan datang kakitangan kesihatan lebih peka terhadap masalah ini.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Kita masih lagi dalam situasi berkongsi kesedihan dan penderitaan tentang apa yang telah dilakukan oleh zionis laknatullah. Namun dalam situasi ini, sama ada kita sedar atau tidak ada segelintir pihak yang mementingkan diri sendiri dan mencari duit secara mudah.

Wahai warganegara Malaysia yang budiman, berhati-hati dengan mereka yang memohon sumbangan atas nama ‘Save Gaza’¬† atau ‘Tabung Kemanusiaan Palestin’ kerana benarkah mereka mengutip derma untuk Gaza. Saya mula terfikir begitu banyak yang ingin memohon sumbangan untuk Gaza, tetapi benarkah mereka semua memberikan sumbangan ini kepada mereka?

Saya mengatakan perkara ini kepada mereka yang mungkin ikhlas dalam memberikan derma kepada Palestin tetapi sebenarnya mereka telah ditipu. Berhati-hati untuk menghulurkan derma. Kerana ruang sebegini begitu mudah dieksploitasikan oleh mereka yang tidak berhati perut. Biarlah kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin tidak mudah melatah untuk berbuat kebaikan tetapi kebaikan yang ingin dilakukan tidak sampai kepada sasaran sepatutnya.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

palestinian1kh-copy

Kita masih lagi dalam dalam kesedihan dan kehibaan terhadap mangsa-mangsa di Gaza, namun bila teringatkan kanak-kanak yang menjadi mangsa bedilan peluru zionis kejam tersebut, sebenarnya terdapat kelebihan di sisi mereka jika dibandingkan dengan anak-anak di Malaysia yang sebaya mereka.

1. Anak kita terlalu sentimental

Anak-anak Malaysia hari ini terlalu susah untuk diberi teguran. Tegur anak sendiri pun seakan-akan tegur anak orang. Tersalah tegur dikatakan ibubapa garang dan tidak menyayangi mereka. Tetapi anak Palestin jiwa mereka tabah. Mereka begitu menghargai kasih sayang bersama keluarga. Mereka sanggup berkorban nyawa untuk mempertahankan keluarga mereka dari kekejaman musuh.


2. Anak kita terlalu mewah

Tak perlu dinafikan anak-anak kita hari ini terlalu mewah dengan harta benda dan kemudahan sosial. Sebab itu sentimen mereka seakan tiada rasa sensitif terhadap kesusahan orang lain kerana mereka tidak pernah merasai kesusahan. Anak Palestin juga mewah. Tetapi mereka mewah dengan kesusahan sehinggakan mereka tidak pernah mencipta ruang-ruang pembaziran kerana mereka bersyukur dengan setiap detik yang dianugerahi Allah.

3. Anak kita lemas hiburan

Media massa begitu banyak memberikan bius hiburan kepada anak-anak kita. Jangan hairan jika mereka lemas dalam suasana cintakan artis dan hiburan semata-mata. Tapi anak Palestin lemas dalam desakan musuh yang terus menerus menghentam mereka. Sebab itu akidah mereka kuat. Kepercayaan mereka pada Allah semakin padu.

4. Anak kita anak merdeka

Anak-anak kita hanya tahu melaungkan merdeka tetapi tiada nada perjuangan dalam dirinya. Kemerdekaan telah membuatkan mereka hanya tidak akan mampu mempertahankan agama dan bangsa mereka. Tetapi anak Palestin, anak berjiwa pejuang. Terus mempertahankan hak mereka dan memperjuangkan kebebasan untuk bangsa dan agama mereka.

5. Anak kita IQ hebat

Anak kita memang hebat IQnya, kerana negara kita memang pentingkan pelajaran. Tapi anak kita gersang emosinya, lemah spiritualnya. Tetapi anak Palestin walaupn IQ mereka mungkin tak sehebat kita tapi emosi mereka kuat dan ketabahan mereka telah membuatkan kita terpanggil untuk terus membela mereka sehingga hari ini. Itulah anak Palestin.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

palestin2

 

Dalam seminggu ini rasa panas dan merah telinga kita mendengar berita kekejaman Israel laknatullah terhadap umat Islam di Palestin di Gaza. Begitulah juga dengan merahnya mata menangisi kematian demi kematian insan yang tidak berdosa mati di bawah kuasa kezaliman Israel. Inilah satu-satunya penjenayah dunia yang begitu licik menjalankan tipu daya sehingga kini belum berhenti melakukan kezaliman.

Padahnya darah umat Islam terus tertumpah di muka bumi. Kenapa ‘binatang’ Israel ini begitu kejam? Hanya kerana ingin menjadikan kerajaan Yahudi kononnya di atas muka bumi Palestin tetapi menjadikan umat Islam Gaza sebagai mangsa korban kezalimannya. Mengapa di akhir zaman ini Allah SWT tidak menurunkan bala kepada mereka? Mengapa Allah SWT tidak terus menghancurkan mereka sedangkan Allah SWT sudah tentu dan pasti mampu mengalahkan¬† Israel hanya sekelip mata.

Sama ada sedar atau tidak, sebenarnya ada hikmah di sebalik semua ini. Jika mungkin di zaman Rasulullah s.a.w Allah SWT segera menurunkan azab bagi mereka yang melawan umat Islam kerana pada masa itu umat Islam tidak seramai hari ini. Tetapi dalam abad ini, dalam jumlah umat Islam yang menjadi umat teramai di dunia hanya mampu melihat saudara-saudara kita di Palestin menjadikan tubuh mereka sebagai perisai peluru berpandu yang dilancarkan Yahudi ini. Sepatutnya di hari ini umat Islam perlu membantu umat Islam sendiri. Bukan hanya melihat kekejaman mereka terus berlaku dan membiarkan mimpi ngeri umat Palestin menjadi mainan tidur mereka.

Penjenayah ini perlu ditangkap. Berdoalah agar Israel menerima azab Allah. Boikotlah segala produk Yahudi yang selama ini tanpa sedar setiap hari kita memberikan saham kepada mereka dengan barangan keperluan harian kita. Inilah masanya dan inilah sebahagian usaha kita menangkap penjenayah dunia ini. “Allahumma alaika Israel wal Yahudi.” Amin.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

maal-hijrah

1o Januari yang lepas kita menyambut Maal Hijrah 1429, dan pada 29 Disember akan datang kita akan sekali lagi menyambut Maal Hijrah 1430. Begitulah istimewanya tahun 2009. Namun apa yang begitu istimewa bagi saya pada tahun ini di akhir garisan 2009 ini kita sebenarnya terlebih dahulu memulakan langkah dan perbaharui niat melalui takwim Islam. Inilah yang sepatutnya berlaku. Cuba anda semua perhatikan pada tahun-tahun yang sebelumnya kita menyambut tahun baru Masihi terlebih dahulu kemudian barulah sambutan Maal Hijrah.

Dalam pergolakan hari ini khususnya di negara kita, dengan pelbagai masalah ekonomi, politik dan perpaduan rasa-rasanya apakah yang menjadi punca kepada semua ini. Saya ingin mengajak diri saya dan anda semua untuk cuba melihat kebenaran atas apa yang berlaku. Setiap tahun negara kita menyambut Tahun Baru dengan cara yang seperti selalunya, countdown detik 12 malam di Dataran Merdeka dengan persembahan-persembahan tertentu sebagai kegembiraan menyambut Tahun Baru. Namun apa yang berlaku selepas tahun baru pelbagai masalah melanda negara. Dalam satu sesi kuliah Maghrib yang pernah saya dengar, seorang ustaz ni bertanya apakah sebenarnya yang menjadikan negara kita penuh dengan masalah? Semua jemaah terdiam. Akhirnya ustaz ini menjawab sendiri, “Masalah yang menimpa negara pada hari ini ialah kerana hilangnya rahmat dari Allah.”

Cuba kita lihat dan fikirkan, kalau Maal Hijrah kita tahu pula menambut dengan bacaan doa akhir tahun, kemudian diikuti pula dengan bacaan doa awal tahun, mengapa sambutan Tahun Baru Masihi perlu disambut dengan cara yang boleh menghilangkan rahmat Allah terhadap kita? Adakah kerana Maal Hijrah sambutan hanya untuk orang Islam? Bayangkanlah kalau setiap tahun negara kita menyambut Tahun Baru dengan cara nyanyian dan persembahan-persembahan tarian, berapakah sisa rahmat Allah yang akan diturunkan kepada kita? Apa yang nak saya katakan, kita mengharapkan negara kita jauh dari masalah-masalah, tetapi kita tidak pernah untuk sensitif bagaimana cara kita memulakan sambutan untuk Tahun Baru. Mudah-mudahan dengan sambutan Maal Hijrah 1430 yang mendahului Tahun Baru 2009 nanti, marilah kita sama-sama memohon agar rahmat Allah akan kembali kepada kita semua. Amin.


Blog Stats

  • 119,956 hits

My Diary

April 2017
M T W T F S S
« May    
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930